Sunday 19 October 2008

Jamin populasi ikan, jamin kualiti sungai

Peranan sungai di mana-mana negara pada dasarnya adalah sama, sebagai teras kehidupan, sumber bekalan air. Sayangmya, keadaan sungai di negara kita adalah sungguh memalukan, dan memikirkan air yang dibekalkan kerumah kita untuk kegunaan keluarga berpunca dari sungai-sungai yang tercemar ini. Kehidupan akuatiknya sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tidak ada.

Berlainan dengan keadaan sungai di sini. Tidak kira di kawasan bandar, kediaman, patah lagi di luar bandar, air sungainya rata-rata jernih dan meriah dengan pelbagai kehidupan akuatik. Oleh sebab itu, sukan memancing air tawar di sini lebih bermakna dan boleh diterima akal. Tak perlu untuk ke taman negara, trekking di hutan, memanjat gunung, melintas rumah harimau semata-mata untuk mencari punca air yang tidak tercemar dan di huni spesis gred A yang makin kelam kewujudannya.

Persoalannya, adakah kualiti sungai akan mendorong sukan memancing ataupun sukan memancing akan mendorong kebersihan sungai? Sebagai rakyat Malaysia, kita terlalu menghormati 'hak' orang, sungai milik bersama, kira semua orang tuan punya sungai dan penghuninya. Sesiapa boleh meraih hasil sungai, anugerah tuhan lah katakan. Sesiapa pun 'boleh' membuang sampah ke sungai, hak mereka juga. Kita di latih untuk bertoleransi, dan untuk menegur perbuatan yang salah, bukan didalam darah kita.

Salah satu pendekatan yang mujarab untuk mengatasi masalah kualiti sungai yang rendah adalah dengan mengikut contoh negara maju. Jepun, Amerika Syarikat, UK dan serata Eropah, semua mempunyai peraturan-peraturan yang menjaga kebajikan hidupan akuatik dan secara langsung akan mendorong kepada penjagaan habitat akuatik, iaitu kualiti sungai. Dengan menyelamatkan dan menjamin kadar populasi ikan yang tinggi melalui peraturan-peraturan yang masuk akal, sudah tentu seluruh masyarakat Malaysia akan mempunyai kehidupan yang lebih sihat. Sukan ini boleh di integrasi bersama perlancongan setempat.

Bayangkan, untuk memancing di sini, anda di wajibkan mendapatkan lesen yang berjumlah GBP 3 sehari ataupun GBP25 setahun. Kutipan ini di salurkan kepada Jabatan Alam Sekitar yang bertumpu kepada air, ikan dan sungai untuk memastikan populasi ikan di tahap yang baik. Pemancing juga di haruskan mempunyai peralatan yang mencukupi berpadanan dengan spesis buruan, catch and release, penggunaan mata kail tanpa barb dan pemancing tidak boleh meninggalkan pancing tanpa perhatian.

Pada mulanya sememangnya macam mengarut terutama sebagai pemancing tempatan yang memburu untuk lauk. Tetapi, fikirkanlah, berpuluh tahun dahulu, ada berapa saja penduduk yang mendiami negara kita? Sekarang kita ada 26 juta penduduk. Manakan sungai yang terhad mampu untuk menampung tabiat menganggapkan semua itu rezeki anugerah tuhan. Kita tak perlu untuk ikut bulat-bulan cara orang, kita boleh ikut yang baik. Contoh, kiranya kita hanya membenarkan saiz-saiz tertentu sahaja untuk di bawa pulang, melepaskan yang kecil untuk membesar dan juga menghormati masa ikan mengawan dengan musim larangan memncing, sudah tentu bilangan ikan akan lebih terjamin.

Tak tahulah bila akan ada pemimpin yang boleh menerajui perikanan dan sumber air harian yang berkualiti tinggi. Buta ke mata dia tengok sungai-sungai kita yang kotor, berbau, penempatan setinggan di tepi sungai, lokasi pembuangan sampah yang tak mengikut garis panduan dan tiada pegawai yang memantau kegiatan mengotorkan sungai. Bodohkah pemimpin kita yang industri sukan memancing ini boleh membawa pulangan yang lumayan disamping menolong penduduk setempat untuk menambah pendapatan pelbagai cara. Tak teringin ke kita tengok sungai-sungai kita indah dah menenangkan fikiran?

No comments: