Wednesday 3 December 2008

Pancing pantai di musim sejuk (Winter beach fishing)


Musim sejuk adalah musim yang paling mencabar untuk berada di pantai di waktu malam memancing. Perkara utama yang perlu di ambil kira adalah:
1. Pakaian yang sesuai. Kalis air, tebal, lengakap dengan sarung tangan dan sarung kepala.
2. Memandu secara berhati-hati
3. Air panas dan pemanas tangan
Oleh kerana suhu di waktu malam amat sejuk, saya biasanya hanya bertumpu ke pancing di siang hari dan berpuas hati dengan rezeki siang yang kurang.
Spesis utama di musim ini adalah Kod semata-mata. Dorongan untuk turn padang adalah saiz ikan kod yang lebih besar. Spesis musim luruh seperti whiting masih boleh didapati dan spesis penetap seperti pouting dan plaice (ikan sebelah) masih ada tetapi dengnan jumlah tangkapan yang amat kurang berbanding musim luruh.
Umpan masih sama, lugworm sebagai umpan utama, black lug, yang lebih mahal tetapi jauh lebih mujarab turut digemari.
Dalam perihal berbelanja membeli umpan, faktor ketam kecil sebagai spesis pengacau utama harus diambil kira. Terkena hari ketam sedang berselera berkenduri, umpan seperti cacing yang lembut boleh habis sekelip mata. Oleh itu, umpan back up yang lebih lasak seperti sotong dan jauh lebih murah adalah digalakkan untuk di bawa bersama.
Beza menggunakan sotong berbanding cacing laut hanyalah kadar sentapan yang diterima. Kesimpulannya, sotong akan menghasilkan kurang jumlah ikan tetapi saiz ikan yang didaratkan biasanya bersaiz besar. Umpan sotong paling baik digunakan secara seluruh, bukan dengan hirisan. Perlu diingat, dengan air yang berkeladak, faktor visual tidak memainkan peranan.
Jarak lontaran umpan untuk spesis ini memerlukan lontaran jauh melainkan jika anda dapat mengenalpasti lokasi 'lubang' ikan. Oleh itu, panjang joran untuk lontaran jauh mestilah tidak kurang dari 12 kaki, tidak terlalu keras dan di sertakan dengan reel untuk pancingan pantai. Saiz batu ladung dari 4 oz ke 6 oz bergantung kepada keadaan arus. Jalan selamat adalah bawa 6 biji batu ladung dengan 2 biji untuk setiap saiz.

Pancing pantai di musim luruh (Autumn beach fishing)

Pancing pantai di musim gugur.
Autumn season atau musim gugur biasanya bermula dari pernghujung August ke akhir October. Pada saya, ini musim yang paling saya gemari kerana peratusan tangkapan bersaiz 'halal' untuk di bawa pulang untuk sajian adalah lebih tinggi. Cuaca juga tidak behitu sejuk tetapi kadar hujan adalah lebih tinggi di musim ini.
Peratusan tangkapan juga amat berbeza di waktu siang dan malam. Untuk mendapat peluang yang lebih cerah, pancing di waktu malam adalah lebih digalakkan. Tambahan pula, budak-budak yang main di tepi pantai dah balik rumah. Untuk pancingan siang, hari yang kelam dan mendung adalah lebih baik berbanding dengan hari yang cerah. Permukaan laut yang agak bergelora juga lebih baik dari laut yang tenang.
Spesis utama di musim ini di kenalai sebagai 'whiting'. Rupanya lebih kurang serupa dengan ikan Kod dan boleh dibezakan dengan 3 perkara:
1. Tiada janggut di bawah dagu
2. Gigi yang tajam
3. Badan yang lebih tirus dan panjang. Macam gelama pisang punya badan.
Tabiat ikan ini yang bergerak secara berkumpulan kecil dan saiz halal sepanjang 27 centimeter untuk dibawa pulang berbanding Kod sepanjang 34 centimeter dan gerakan solo, pada awal musim, biasanya saiz lebih kecil didaratkan dan bertambah besar dengan musim berlarutan.
Lontaran umpan juga tidak perlu terlalu jauh terutama di waktu malam. Umpan terbaik masih cacing laut, udang, sotong, perumpun raja dan hirisan mackarel.
Whiting jarang di jual di pasaran, tetapi ikan ini pada saya mempunya isi yang terbaik di bawah ikan sebelah (plaice & sole). Dibandingkan dengan ikan Kod, isi ikan ini jauh lebih menyelerakan.
Di samping whiting, Kod juga telah mula muncul di musim ini. Lontaran lebih jauh di perlukan untuk spesis ini. Ikan pari, pada teorinya patut ada, tetapi populasinya mawat kurang kerana kegiatan pukat tunda. Selain itu, ikan 'pouting' yang juga keluarga Kod dan Whiting yang boleh dibezakan dengan badan yang lebar dan pendek dan saiz kepalanya yang kecil juga boleh di dapati.
Sekiranya anda berpeluang memancing di musim gugur di sini, berikut adalah sedikit tip dan petua:
1. Umpan: Lugworm (boleh di beli di kedai pancing berhampiran pantai). Ragworm (perumpun raja) juga sesuai. £5 untuk lebih kurang 4 jam pemancing solo.
2. Rod panjang tidak kurang 10 kaki
3. Tali utama 20lb ke 30lb. Nylon. Braided line perlu di sertakan dengan shock leader.
4. Saiz mata 1/0 ke 3/0 long shank untuk cacing. Mata lebih kecil untuk ikan sebelah.
5. Rod rest.
6. Pancing malam perlu disertakan dengan lampu yang sesuai.

Sunday 19 October 2008

Jamin populasi ikan, jamin kualiti sungai

Peranan sungai di mana-mana negara pada dasarnya adalah sama, sebagai teras kehidupan, sumber bekalan air. Sayangmya, keadaan sungai di negara kita adalah sungguh memalukan, dan memikirkan air yang dibekalkan kerumah kita untuk kegunaan keluarga berpunca dari sungai-sungai yang tercemar ini. Kehidupan akuatiknya sangat terhad dan boleh dikatakan hampir tidak ada.

Berlainan dengan keadaan sungai di sini. Tidak kira di kawasan bandar, kediaman, patah lagi di luar bandar, air sungainya rata-rata jernih dan meriah dengan pelbagai kehidupan akuatik. Oleh sebab itu, sukan memancing air tawar di sini lebih bermakna dan boleh diterima akal. Tak perlu untuk ke taman negara, trekking di hutan, memanjat gunung, melintas rumah harimau semata-mata untuk mencari punca air yang tidak tercemar dan di huni spesis gred A yang makin kelam kewujudannya.

Persoalannya, adakah kualiti sungai akan mendorong sukan memancing ataupun sukan memancing akan mendorong kebersihan sungai? Sebagai rakyat Malaysia, kita terlalu menghormati 'hak' orang, sungai milik bersama, kira semua orang tuan punya sungai dan penghuninya. Sesiapa boleh meraih hasil sungai, anugerah tuhan lah katakan. Sesiapa pun 'boleh' membuang sampah ke sungai, hak mereka juga. Kita di latih untuk bertoleransi, dan untuk menegur perbuatan yang salah, bukan didalam darah kita.

Salah satu pendekatan yang mujarab untuk mengatasi masalah kualiti sungai yang rendah adalah dengan mengikut contoh negara maju. Jepun, Amerika Syarikat, UK dan serata Eropah, semua mempunyai peraturan-peraturan yang menjaga kebajikan hidupan akuatik dan secara langsung akan mendorong kepada penjagaan habitat akuatik, iaitu kualiti sungai. Dengan menyelamatkan dan menjamin kadar populasi ikan yang tinggi melalui peraturan-peraturan yang masuk akal, sudah tentu seluruh masyarakat Malaysia akan mempunyai kehidupan yang lebih sihat. Sukan ini boleh di integrasi bersama perlancongan setempat.

Bayangkan, untuk memancing di sini, anda di wajibkan mendapatkan lesen yang berjumlah GBP 3 sehari ataupun GBP25 setahun. Kutipan ini di salurkan kepada Jabatan Alam Sekitar yang bertumpu kepada air, ikan dan sungai untuk memastikan populasi ikan di tahap yang baik. Pemancing juga di haruskan mempunyai peralatan yang mencukupi berpadanan dengan spesis buruan, catch and release, penggunaan mata kail tanpa barb dan pemancing tidak boleh meninggalkan pancing tanpa perhatian.

Pada mulanya sememangnya macam mengarut terutama sebagai pemancing tempatan yang memburu untuk lauk. Tetapi, fikirkanlah, berpuluh tahun dahulu, ada berapa saja penduduk yang mendiami negara kita? Sekarang kita ada 26 juta penduduk. Manakan sungai yang terhad mampu untuk menampung tabiat menganggapkan semua itu rezeki anugerah tuhan. Kita tak perlu untuk ikut bulat-bulan cara orang, kita boleh ikut yang baik. Contoh, kiranya kita hanya membenarkan saiz-saiz tertentu sahaja untuk di bawa pulang, melepaskan yang kecil untuk membesar dan juga menghormati masa ikan mengawan dengan musim larangan memncing, sudah tentu bilangan ikan akan lebih terjamin.

Tak tahulah bila akan ada pemimpin yang boleh menerajui perikanan dan sumber air harian yang berkualiti tinggi. Buta ke mata dia tengok sungai-sungai kita yang kotor, berbau, penempatan setinggan di tepi sungai, lokasi pembuangan sampah yang tak mengikut garis panduan dan tiada pegawai yang memantau kegiatan mengotorkan sungai. Bodohkah pemimpin kita yang industri sukan memancing ini boleh membawa pulangan yang lumayan disamping menolong penduduk setempat untuk menambah pendapatan pelbagai cara. Tak teringin ke kita tengok sungai-sungai kita indah dah menenangkan fikiran?

Saturday 18 October 2008

Raja sungai: Pike






Pike (sebutan paik) merupakan spesis pemangsa yang utama menghuni sungai-sungai dan tasik. Dengan rekod tangkapan terbesar seberat 21 kg, spesis ini adalah antara spesis buruan utama pemancing pemangsa hardcore di sini.

Spesis ini sebenarnya mempunyai lebih banyak persamaan dengan barracuda berbanding dengan haruan/ toman kita. Mulut yang besar dan dilengkapi dengan ratusan gigi yang tajam, penggunaan perambut dawai adalah amat penting.

Tetapi, dengan darah pahlawan melayu, baru petang tadi pike seberat 3 kg berjaya saya daratkan dengan tali nylon berkekuatan 6lb sahaja. Tangkapan tidak sengaja, ikan kecil yang meragut umpat ulat di mata kail saiz 14 (super halus) di sambar pike ketika mahu didaratkan.

Disebabkan nampak didepan mata, dengan timing berbekalkan bismillah, sebaik sahaja seluruh badan ikan itu dibaham, sembatan kemas tepat melekat di tepi mulutnya dan terlepas bala gigi-giginya yang tajam. Drag di longgarkan sedikit untuk memastikan kail halus tidak melompat keluar dan tali 6lb tidak putus. Beberapa minit kemudian, perlahan-lahan pike diseret ke tepi dan ada brader sebelah hulur tangguk. Tengok setting saya dan matakail dan tali yang halus, orang putih pun hairan dengan skill orang Malaysia.

Pike lebih banyak memburu dengan cara serang hendap. Ekornya yang lebar dan badan yang panjang menghasilkan pecutan yang laju, cukup untuk menyambar mangsa yang lalu di losasi ambushnya. Badannya yang bercorak dan warna yang kehijauan menjadikannya sukar untuk dikesan oleh ikan yang berkeliaran. Ikan ini juga terkenal dengan perangai kanibalnya, jangan hairan sekiranya anda melihat pike yang cuba didaratkan disambar dengan bapak pike.
Pike yang besar adalah betina. Pike jantan lebih dikenali dengan gelaran 'jack pike' dan hanya mampu membesar hingga ke skala 5lb (2.5 kg). Bayangkan proses mengawan spesis ini, kena tengok dulu bakal isteri dah makan ke belum, ataupun ajal yang menunggu. Pada kebiasaanya seekor pike betina akan diiringi dengan 2 ke 3 ekor jack pike. Jadi, kiranya seekor yang besar ditangkap, pastinya akan ada 'jack' yang boleh disusul, dan kiranya 2 ekor jack ditangkap di tempat yang sama, peluang untuk mendapatkan yang lebih besar amat cerah.
Oleh kerana sifat ambushnya, pike tak mempunya stamina yang tinggi. Pike juga suka memburu mangsa yang cedera atau stress. Ikan yang menglepar cuba melepaskan diri dari mata kail merupakan salah satu tarikan utama pada pike. Pada masa-masa ini, pike lebih daripada tetatu tak diundang kerana kehadirannya menakutkan ikan-ikan lain. Dengan set memburu ikan-ikan lain yang ultra halus dan ringan, susah untuk menggunakan set pancing semua keadaan.
Rekod peribadi saya adalah seberat 18lb. Didaratkan dengan set pancing ringan, tali braid 10lb dan kail mata tiga jena rapala saiz 1. Umpan ikan mati (smelt, spesis ikan air masin) dengan kaedah pancingan dasar. Lokasi di sungai seberang jalan dari rumah sewa.
Tangkapan peribadi yang paling memuaskan hati adalah dengan menggunakan RAPALA apung 2 inci. Kaedah gewang apung hanya boleh digunakan dimusim panas kerana ikan-ikan lain lebih aktif dan pike seharusnya jadi lebih aktif isi perut. Di musim sejuk, pike lebih suka menyimpan tenaga dan lebih cenderung pada mencari spesis malang yang melintas dan yang cedera.
Sekiranya ada kesempatan unutk anda mencuba menduga spesis ini, persiapannya agak ringkas.
1. Perambut dawai (bersalut nylon) dan mata serampang tiga. 2 mata kail di galakkan dengan 1 dicangkuk dibahagian hadapan ikan dan satu di belakang.
2. Umpan ikan kecil. 3 ke 4 inci saiz ikan, tak kira ikan sungai atau laut. Umpan mati terbaik bergantung pada kadar omega 3 nya, yang berminyak lebih mujarab.
3. Pastikan ada peralatan untuk mendaratkan ikan ini. Maklumlah, bukan boleh dipegang sesuka hati, takut ada trip ke hospital pulak. Tangguk adalah terbaik.
4. Perlu diingat, di negara barat ikan ini selalunya dalam kategori tangkap dan lepas. kesihatan ikan perlu dijaga. Silap-silap kena pancing dengan pemantau alam sekitar kalau salah cara. Jangan lupa bertanya masyarakat setempat dahulu dan sebaiknya, cari kedai pancing berdekatan untuk memahami peraturan setempat sambil mendapatkan umpan terbaik.